Thursday, May 22nd, 2008

5 Perkara Cara Berjaya Dalam Perniagaan Pos

Perniagaan mail order atau melalui pos adalah menyeronokkan dan mudah dilakukan sama ada secara sambilan ataupun sepenuh masa. Lebih-lebih lagi, ia dapat memberikan anda keuntungan yang tinggi. Malah anda boleh menjadi kaya hasil daripada perniagaan yang unik ini. Tetapi, ia memerlukan masa dan usaha yang tidak sedikit.

Kita tidak dapat kaya dalam jangka masa yang singkat.Sedar atau tidak, perniagaan mail order telah wujud lebih lama daripada perniagaan internet dan internet itu sendiri, yang mana, pada masa kini Internet hanyalah sebagai salah satu daripada kaedah hebahan kepada umum.

Seorang usahawan Internet,Michael Dell menjadi jutawan melalui perniagaan mail order, dan bukannya perniagaan Internet. Ketika beliau mula menjual komputer keluarannya “DELL”, kemudahan Internet belum lagi meluas. Oleh itu, mail order menjadi pilhannya.

Mail order membolehkan anda bekerja hanya daripada rumah, membeli-belah daripada rumah dan melakukan segala-galanya daripada rumah. Malahan televisyen juga melakukan mail order, seperti rancangan SmartShop dan lain-lain seumpama dengannya.
Lakukan perniagaan ini secara berterusan dan jangan jemu-jemu. Di sini lima perkara yang anda perlu lakukan supaya berjaya dalam perniagaan mail order:

1#: Dapatkan pengiklanan yang murah
Anda tidak boleh dan tidak digalakkan mengiklankan dalam ruangan iklan yang mahal. Terdapat akhbar-akhbar yang menawarkan pengiklanan yang murah. Jika anda mengiklankan produk dan perkhidmatan dalam pengiklanan yang besar dan mahal, dikhuatiri anda tidak sempat dan tidak berupaya mendapatkan keuntungan yang sewajarnya. Buat permulaan, iklankan secara kecil-kecilan terlebih dahulu.

2#: Piramidkan keuntungan anda
Maksud piramidkan keuntungan adalah anda menggunakan separuh daripada keuntungan bersih bagi mengiklankan dengan lebih kerap dan banyak. Iklankan di dalam akhbar serta majalah yang berlainan. Jangan cepat hendak mendapatkan keuntungan. Ia perlu bergerak secara bertahap sehingga anda dapat meraih keuntungan yang tinggi.

3#: Pengiklanan di dalam akhbar dan majalah berlainan
Cubalah anda iklankan dalam pengiklanan yang berlainan. Apabila anda mendapat keuntungan, selain anda mengiklankan di dalam akhbar-akhbar yang sedia ada, anda boleh mengiklankan di dalam akhbar yang belum pernah anda iklankan. Selepas itu, carilah majalah yang belum pernah anda iklankan. Apabila keuntungan anda sudah berlipat ganda, perniagaan anda kerap keluar dalam iklan akhbar, maka bolehlah anda mengiklankan pada ruangan yang lebih besar. Saudara Hamidan Salehan, pengasas Dinamic Mail Enterprise kini, berupaya mengiklankan produk dengan menggunakan satu ruang penuh. Contohnya, dalam akhbar Mingguan Perdana. Tidak hairanlah, pendapatan secara purata ialah RM50,000 setahun.

4#: Iklankan produk lain
Anda boleh melipatgandakan keuntungan dengan mengiklankan produk yang lain pula. Lakukan langkah 1 hingga langkah 3 dan lihat hasil keuntungannya. Anda berhak mengiklankan beberapa produk yang anda sukai. Tetapi buat permulaan, cukup hanya satu produk sahaja. Setiap langkah perlu perlahan tetapi bertahap.

5#: Jangan takut kepada kesilapan
Kesilapan adalah bibit-bibit kejayaan. Belajar daripada kesilapan. Perniagaan mail order adalah perniagaan yang membolehkan anda menjadi kaya, tetapi secara bertahap. Bukan kaya cepat. Cepat kaya, cepatlah jatuh. Betulkan segala kesilapan dan jangan ulangi kesilapan yang sama.

Category: Rahsia Pos